MAC 2024

Sumitomo Terokai Projek Hijau


SINGAPURA: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sumitomo Corporation Asia dan Oceania di sini bagi membincangkan lebih banyak peluang kerjasama.

Sumitomo memiliki banyak bidang kerjasama di Sarawak dan kini membangunkan projek berhubung pengeluaran hidrogen.

Sumitomo Corporation juga berminat untuk terlibat lebih aktif dalam projek hijau di Sarawak seperti biomass buluh, tenaga diperbaharui, CCUS, keluli hijau dan kimia.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, mengalu-alukan Sumitomo untuk menerokai dan melabur dalam projek ladang buluh serta sektor ekonomi baharu termasuk ekonomi hijau dan digital.

Hadir sama Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak, Zainal Abidin Abdullah, Penasihat STIDC, Datu Hashim Bojet, CEO InvestSarawak, Timothy Ong, CEO PUSAKA Capital Sdn Bhd, Mohd. Nor Topek Julaihi.